Thursday, March 26, 2009

Penggantungan Harakah dan Suara Keadilan

Mulai 23 Mac 2009 permit Harakah dan Suara Keadilan digantung selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta. Penggantungan Harakah dan Suara Keadilan disebabkan kedua-dua penerbitan ini telah bercanggah dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dengan menyiarkan laporan dan berita yang memutarbelit fakta, mengelirukan maklumat serta percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin yang mana ini boleh memudaratkan keharmonian rakyat, kepentingan negara dan ketenteraman awam.

Dalam pada itu, kedua-dua penerbitan ini juga telah melanggar syarat permit iaitu ianya mesti dijual kepada ahli sahaja bukannya orang awam dan mesti dijual di kawasan markas dan pejabat parti sahaja. Pada masa yang sama, kandungan kedua-dua penerbitan tersebut tidak mengikut konsep yang sebenar iaitu sepatutnya melaporkan berita dan isu berkaitan hal ehwal dalaman parti mereka sahaja.

Disamping itu, penggantungan Suara Keadilan turut disebabkan kedegilan memenuhi syarat permit iaitu mengemukakan lapan naskhah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tujuan semakan walaupun telah ditegur berulang kali. Dalam masa yang sama, Harakah tidak memberi sebarang maklum balas sehingga kini terhadap Surat Tunjuk Sebab yang dikeluarkan oleh Kementerian pada 26 Febuari 2009.

Penggantungan ini dibuat secara objektif dan mengambil kira kepentingan nasional tanpa dipengaruhi faktor-faktor lain di samping tidak berniat menyekat kebebasan akhbar di negara ini.

No comments: